PEMAIN Sri Pahang kembali menjalani latihan. FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang kembali menjalani latihan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mahu menebus kekecewaan apabila berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pengendalinya, Christophe Gamel berkata, kekalahan 1-3 kepada Selangor FC pada 29 April lalu, masih dirasai pasukan.

"Bagaimanapun, perasaan kecewa itu perlu dilupakan untuk kami fokus dan kembali bangkit berdepan KL City Sabtu ini.

"Biarpun peluang dilihat dimiliki tuan rumah, Sri Pahang akan mempamerkan prestasi terbaik dan mahu memberikan tekanan kepada KL City.

"Bagi saya, peluang kami di tempat lawan adalah 50-50 tetapi percaya dengan kemampuan semua pemain.

"Selepas mereka meraikan hari raya Aidilfitri, saya harap minda semua pemain berada tahap terbaik untuk fokus pada perlawanan keenam saingan liga," kata jurulatih berasal dari Perancis itu.

Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan mengutip empat mata daripada lima perlawanan.

Dengan hanya satu kemenangan dan satu seri memerlukan Sri Pahang lebih padu jika mahu bersaing di kedudukan teratas.

Ketumpulan di bahagian serangan dilihat punca utama skuad itu gagal menyerlah untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan enam teratas.

Justeru, Gamel perlu menambah baik dan memperkasakan jentera serangan Sri Pahang yang masih belum berada pada prestasi terbaik.

Penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za'tara seharusnya membuktikan kehadiran bersama Tok Gajah akan membantu skuad itu meraih kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 1:52 PM