CORBIN (kanan) muncul pemain termahal disebabkan oleh konsistensi beraksi bersama JDT. FOTO Bernama
CORBIN (kanan) muncul pemain termahal disebabkan oleh konsistensi beraksi bersama JDT. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bukan Arif Aiman Hanapi mahupun Safawi Rasid, tetapi dua rakan sepasukan di bahagian pertahanan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong dan Matthew Davies dilabel sebagai pemain paling termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Berdasarkan 'tanda harga' terkini yang dipaparkan di laman rasmi transfermarkt.com menyaksikan kedua-dua tonggak pertahanan kanan dan kiri itu bernilai €350,000 atau bersamaan dengan RM1.6 juta.

Memang agak mengejutkan apatah lagi kedudukan itu menolak bintang muda negara Arif Aiman di posisi ketiga berkongsi dengan Safawi dan tonggak tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar.

Trio berkenaan ketika ini bernilai RM1.4 juta (€300,000) dengan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mengisi kedudukan di tangga kedua pada harga RM1.5 juta (€325,000).

Menurut ejen bola sepak tempatan yang juga Pengarah Proglobal Sports, Raja Azlan Shah, kemampuan dua tonggak pertahanan itu untuk muncul pemain termahal disebabkan oleh konsistensi beraksi bersama JDT.

Katanya, kejayaan skuad Harimau Selatan melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) turut mempengaruhi nilai kedua-dua pemain itu yang disifatkan antara kekuatan utama pasukan.

"Memang mengejutkan tetapi mereka berdua adalah pemain JDT yang paling banyak minit permainan dan sering bermain sama ada dalam Liga M mahupun ACL.

"Mungkin minit permainan yang banyak dan jarang dikeluarkan dalam perlawanan sedikit mempengaruhi nilai mereka, dengan Arif atau Safawi kadang-kadang ditukarkan di hujung permainan.

"Malah mereka berdua juga adalah pemain skuad Harimau Malaya ketika ini dan aksi mereka cukup konsisten," katanya yang sudah mengeksport ramai pemain muda berbakat negara ke Eropah.

Antara pemain yang di bawa oleh bekas pemain itu adalah Muhammad Haziq Alzam di Liga Turki bersama kelab Karagumruk SK; Rafieq Al-Amzar Zulkifeli di Liga Bosnia, NK Zvijezda Gradacac; Owen Teo di Liga Croatia, NK Pre- cko Zagreb dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:56 PM