SAFWI ketika memanaskan badan sebelum menentang UITM semalam. FOTO Owee Ah Chun
SAFWI ketika memanaskan badan sebelum menentang UITM semalam. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tangisan tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid ketika diusung keluar pada perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) mementang UiTM semalam cukup membimbangkan penyokong bola sepak tanah air yang melihat kecederaan dialami pemain terbabit begitu serius hingga kemungkinan berehat dalam tempoh yang lama.

Namun, Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim segera menenangkan keadaan apabila menyatakan kecederaan pemain berasal dari Dungun itu kemungkinan akan pulih dalam tempoh dua minggu.

Menerusi Instagram miliknya menyatakan bahawa Safawi menitis air mata menahan kesakitan bukanlah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) seperti yang disangka penyokong bola sepak.

"Jangan risau, Alhamdullilah bukan ACL. Kita hanya bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia), itu sahaja.

"Terima kasih, dua atau tiga minggu lagi…Insya-Allah OK," katanya.

Selain itu, beliau juga memberi keyakinan bahawa Safawi akan kembali beraksi bersama pasukan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Pada perlawanan semalam menyaksikan Safawi mengalami kecederaan ketika berhadapan pemain tengah tuan rumah, Mohamad Syafiq Al-Hafiz Dawawi pada minit kelapan.

Kecederaan itu menyebabkan tonggak Harimau Malaya itu terpaksa dikeluarkan sebelum diganti pemain muda JDT, Arif Aiman yang meledak gol pertama buat pasukannya.

Pada perlawanan menentang UiTM itu, JDT berjaya meraih kemenangan dengan jumlah gol besar 4-0 seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 5:22 PM