PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema menimang bola pada sesi latihan di Ciudad Real Madrid. FOTO AFP
PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema menimang bola pada sesi latihan di Ciudad Real Madrid. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Pemain serta pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, keputusan penyerang Perancis, Kylian Mbappe menolak kelab itu dan kekal di Paris St Germain tidak menjejaskan tumpuan mereka untuk menghadapi final Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool di Stade de France, Sabtu ini.

Kontrak Mbappe bersama PSG sepatutnya berakhir Jun ini dan pemain antarabangsa Perancis itu dikatakan akan menyertai Real Madrid sejak hujung musim lalu.

Bagaimanapun, di sebalik minat Real, penyerang berusia 23 tahun itu menyambung kontrak dengan PSG, hujung minggu lalu yang menyaksikan dia kekal sehingga 2025.

"Ini bukan masanya untuk bercakap mengenai perkara kecil," kata bintang Real, Karim Benzema kepada Movistar Plus pada Selasa, ketika ditanya sama ada dia mahu mengulas mengenai keputusan rakan sepasukannya bersama skuad Perancis itu.

"Saya langsung tidak marah. Kami akan menghadapi final Liga Juara-Juara Eropah pada Sabtu ini dan itulah fokus serta tumpuan saya.

"Saya menumpukan kepada perlawanan besar dan itu menjadi keutamaan pada masa ini. Final itu lebih penting berbanding mendengar bunyi bising dan khabar angin."

Pemain tengah Brazil, Casemiro, yang juga antara tonggak penting Real Madrid berkata, keputusan seorang pemain tidak akan menjejaskan kedudukan kelab.

"Real Madrid bukan kelab seorang pemain, mereka lebih besar daripada kami," katanya kepada wartawan apabila pemain ditanya mengenai Mbappe pada sidang media menjelang final.

"Real Madrid sudah menang 13 gelaran Liga Juara-Juara Eropah. Kelab ini diperkuatkan dan dikenali kerana sejarah, bukannya seorang pemain.

"Mbappe adalah pemain hebat, tetapi kami menghormati keputusannya dan mendoakan kejayaannya. Ramai pemain hebat bermain di sini seperti Alfredo Di Stefano, Cristiano Ronaldo dan ramai lagi. Tetapi, semuanya bukan kerana mereka, tetapi mengenai kelab."

Menjelang rekod final kelima Liga Juara-Juara Eropah sebagai jurulatih, Ancelotti berkata, pasukannya tenang dan bermotivasi tinggi.

Menurutnya, keputusan Mbappe tidak mengganggu keadaan di bilik persalinan dan menegaskan dia tidak akan bercakap mengenai pemain kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 8:08 AM