MORA mengakui perlu memperkemaskan lagi corak permainan JDT. -FOTO Rizar Mohd Noor
MORA mengakui perlu memperkemaskan lagi corak permainan JDT. -FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tidak menganggap kemenangan 3-0 menewaskan Sarawak United FC (SUFC) pada aksi pusingan kedua kalah mati Piala FA begitu mudah diraih sebaliknya mengakui berdepan kesukaran tatkala pasukan lawan mempamerkan semangat melawan.

Mora menegaskan ia bukan kemenangan mudah sebelum layak ke peringkat suku akhir, tapi pemain JDT yang memainkan peranan untuk mencipta kemenangan dengan kesungguhan dan corak permainan yang tersusun tatkala perlu mengimbangi kekuatan skuad kendalian B Sathiananthan yang kerap menutup ruang untuk bergerak bebas.

"Mungkin nampak mudah untuk menang tapi hakikatnya ia sukar kerana apa yang menyukarkan adalah bagi memastikan corak permainan dan taktikal tersusun dan juga pastikan pemain sentiasa beraksi konsisten sepanjang 90 minit tanpa melakukan kesilapan.

"Kami menghormati Sarawak United tapi kami harus mengambil kesempatan daripada momentum permainan yang konsisten untuk mencapai kemenangan dan ia dilakukan dengan baik bagi memastikan kami layak ke suku akhir.

"Pada aksi itu, kami ubah taktikal permainan sebanyak tiga kali bagi mengelirukan pasukan lawan malah kami beri peluang untuk pemain yang kurang minit permainan seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Daniel Amir, Safawi (Rasid) dan Ramadhan (Saifullah) kerana mereka penting dalam skuad JDT.

"Beberapa tonggak utama seperti Shane (Lowry), Leandro (Velazquez) dan Natxo (Insa) tidak dapat diturunkan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kelibat pemain yang diturunkan beri lebih keyakinan kepada mereka untuk beraksi dalam saingan liga," katanya.

Mora juga bersimpati dengan kegagalan Bergson Da Silva yang kurang menjadi pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi selepas beberapa percubaan yang mampu diterjemah dengan jaringan tapi bola tidak masuk ke gawang walaupun penjaga gol lawan sudah tertewas.

Sementara itu, Sathiananthan mengakui sudah menjangka akan tumpas kepada JDT dan reda dengan kekalahan yang dialami apabila tersingkir daripada saingan Piala FA pada musim ini.

"Saya bukan jenis jurulatih yang suka bercerita yang kami mampu mengimbangi kekuatan JDT atau menyaingi kehebatan pasukan itu.

"Ini adalah realiti kami menentang pasukan yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan sudah tentu agak sukar untuk menang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 12:08 PM