PEMAIN JDT, Arif Aiman dijatuhkan pemain Kawasaki, Daiya Tono  di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PEMAIN JDT, Arif Aiman dijatuhkan pemain Kawasaki, Daiya Tono di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak perlu kecewa tatkala gagal mencipta kemenangan selepas seri 0-0 dengan pendahulu Liga 1 Jepun (J1 League), Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), semalam.

Sebaliknya JDT yang dibimbing Benjamin Mora sepatutnya bangga dan membuktikan betapa penampilan mereka pada saingan ACL empat musim berturut-turut membuktikan pasukan itu sudah matang untuk bersaing dengan kelab gergasi Asia.

Apapun, Mora yang ditemui pada sidang media mengakui aksi menentang skuad kendalian Toru Oniki sememangnya sukar memandangkan pasukan itu dibentuk dengan struktur mantap di setiap posisi sehingga sukar buat pemainnya bertindak mengancam benteng lawan.

"Bukan itu sahaja mereka juga mantap menguasai permainan serta membentuk taktikal tersusun dan senario itu membuatkan kami tercari-cari ruang bagi menyusup masuk ke kawasan penalti tapi sukar menembusi kekentalan benteng mereka selain barisan tengah yang pantas mematahkan gerakan.

"Mereka kerap melakukan transisi bola yang pantas dan sentiasa bergerak di posisi tengah dan sayap kiri dan kanan malah kami cuba memberi tekanan dalam usaha memenatkan pemain lawan tapi tampak sukar kerana mereka tetap menguasai permainan.

"Di awal permainan agak sukar di posisi kiri dan kanan kami apabila pemain import dari Brazil (Marcio Barbosa) kerap mengasak Matthew Davies malah pemain nombor 9 (Leandro Santos) menggunakan pengalamannya untuk menguasai bola selain nombor 19 (Daiya Tono) yang menjadi tunjang di posisi tengah dan beri tekanan terhadap Natxo (Insa)," katanya.

Mora berkata, kekerapan pemain Kawasaki Frontale memberi tekanan di posisi tengah dan benteng memaksa beliau mengubah taktikal dengan memfokus di posisi tengah apabila bermain secara kompak untuk menyekat penguasaan pemain kelab dari Jepun itu.

Tambahnya, pemain JDT jarang menguasai permainan tapi mereka begitu disiplin bagi mengekalkan momentum permainan sehingga tamat permaian biarpun bukan tiga mata tapi satu mata yang diraih ibarat `mata emas' yang bukan mudah dikutip tatkala menentang pasukan berstatus gergasi Asia.

Beliau juga menyifatkan empat tonggak utama benteng JDT, Shane Lowry, Shahrul Saad, Davies dan Corbin Ong memperagakan aksi menakjubkan dan mampu mengekalkan taktikal disiplin tinggi.

"Saya memberitahu kepada rakan jurulatih JDT, keempat-empat pemain itu beraksi cukup menakjubkan malah begitu efisien tanpa membuat sebarang kesilapan dan tenang menghalang gerakan berbahaya pemain lawan sehingga mereka hilang akal untuk cuba tembusi benteng kami," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:48 PM