AKHYAR Rashid (kiri) dan Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
AKHYAR Rashid (kiri) dan Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) bertekad untuk kembali mempamerkan aksi lebih konsisten bagi memburu kemenangan kedua apabila melayani kunjungan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Selepas kemenangan 2-0 menewaskan Kelantan FC Isnin lalu, pengendali JDT, Benjamin Mora merancang untuk menurunkan barisan yang lebih mantap bagi memastikan pemburuan tiga mata tidak terjejas dengan helah permainan skuad kendalian P Maniam.

Mora sendiri menegaskan setiap kali berdepan PJ City FC, barisan pemainnya berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pasukan itu yang lebih gemar mengamal corak bertahan dan akan mengambil kesempatan melakukan serangan balas yang boleh memerangkap benteng JDT.

"Kerap kali kami lawan PJ City FC dan pertembungan dalam saingan Liga Super kami menang pada aksi pusingan pertama 3-0 dan pusingan kedua menang 2-0 tapi itu cerita lama kerana saingan Piala Malaysia berbeza dan kami tidak boleh ambil mudah pada perlawanan itu nanti.

"Pemain PJ City FC gemar untuk bermain corak permainan pantas dan memberi cabaran apabila pemain JDT mengawal bola malah saya akui menentang pasukan itu mendatangkan kesukaran buat kami dan kita akan lihat bagaimana keadaan pemain kerana mereka harus menjalani proses pemulihan untuk bersedia pada aksi, malam esok.

"Apapun, saya tidak dapat menggunakan khidmart Leandro (Velazquez) yang masih belum pulih daripada kecederaan dan mungkin ambil masa untuk dia pulih tapi kami ada pemain yang mampu menggalas tugas di posisi tengah," katanya.

Mora juga mendambakan kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri bagi mengekalkan momentum untuk mendahului Kumpulan D malah beliau kemungkinan akan menurunkan empat tenaga import iaitu Gonzalo Cabrera, Mauricio Dos Santos, Shane Lowry dan Bergson Da Silva kecuali Velazquez yang mengalami kecederaan.

Katanya, kemenangan itu penting untuk meningkatkan lagi motivasi pemain selepas persembahan kurang meyakinkan ketika menang ke atas Kelantan FC, baru-baru ini namun di sebalik keghairahan memburu tiga mata, pemain JDT harus waspada dengan taktik permainan PJ City FC yang boleh menimbulkan kegusaran buat skuad Harimau Selatan.

"Corak permainan yang ditonjolkan PJ City FC boleh mengundang kerisauan buat kami. Apatah lagi mereka akan turun memburu kemenangan pertama selepas seri 1-1 dengan Sabah FC pada aksi pertama dan kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah yang beri ruang buat mereka ambil kesempatan," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:33 PM