PEMAIN Melaka United menjalani latihan. FOTO Ihsan Melaka United
PEMAIN Melaka United menjalani latihan. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengurusan pasukan Melaka United (MU) yakin pengendali skuad terbabit Mohd Asri Ninggal mampu merencana strategi ampuh menjelang pertemuan berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) pada perlawanan keenam mereka.

Pengurus MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, kemenangan pertama skuad terbabit ke atas Sri Pahang FC di bawah kendalian Asri diharapkan berterusan dalam usaha memburu mata penting bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Katanya, waktu ini semangat pemain dilihat berada dalam situasi amat memberangsangkan dalam usaha mengintai kemenangan ke atas lawan walaupun bakal beraksi di Alor Setar.

Malah dia juga mengharapkan mata maksimum di gelanggang lawan ketika bertemu Tok Gajah mampu diulangi kali ini.

Beliau berkata, situasi semasa pada sesi latihan amat baik dan moral pemain juga berada dalam situasi yang meyakinkan untuk berdepan lawan.

"Apapun KDA FC bukan calang -calang pasukan tambahan perlawanan berlangsung di laman mereka berikutan apa yang pasti fokus pada setiap minit amat penting untuk mengelak kubu dibocori.

"Impian tiga mata tetap menjadi hasrat kami, namun jika pulang dengan satu mata juga boleh memberi kelegaan buat pasukan tambahan Kedah kini memiliki barisan yang amat mantap," katanya.

Sehubungan itu, Asri kini menyediakan barisan kesebelasan dan gantian yang memiliki semangat juang yang tinggi untuk memberi impak besar terhadap 90 minit pertarungan itu kelak.

Baginya, Asri yang jelas 'masak' dengan keupayaan dan kemahiran pemain berikutan berada dalam skuad berkenaan semasa di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan dan Risto Vidakovic.

Justeru, apa yang pasti Asri sedang memperinci persembahan pemain yang digabungkan untuk menampilkan imej lebih segar buat skuad berkenaan.

Jumaat lalu, Melaka United Football Club (MUFC) mencapai kata sepakat dengan ketua jurulatih, Risto Vidakovic dan jurulatih kecergasan, Dzevad Saric bagi menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

Vidakovic dan Dzevad yang menyertai MUFC pada Januari lalu membimbing skuad Hang Tuah meraih satu kemenangan dalam pusingan pertama Piala FA selain satu keputusan seri dan tiga kekalahan dalam aksi Liga Super.

Dengan penamatan kontrak beliau bersama skuad Hang Tuah menyaksikan penolong jurulatih, Mohd Asri Ninggal menjadi ketua jurulatih sementara dan dibantu penolong jurulatih, Nazrulerwan Makmor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 5:14 PM