Empat pembantu jurulatih Melaka United. FOTO Ihsan Melaka United
Empat pembantu jurulatih Melaka United. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United FC (MUFC) melantik tiga jurulatih tempatan dan seorang dari Bosnia Herzegovina yang bakal berganding bahu membantu ketua jurulatih skuad berkenaan Risto Vidakovic musim ini.

Mereka membabitkan bekas ketua jurulatih Kelantan United FC musim lalu, Nazrolerwan Makmor selain penolong jurulatih MU musim lalu, Mohd Asri Ninggal serta jurulatih penjaga gol Azlisham Ibrahim dan Dzevad Saric selaku jurulatih kecergasan.

Dalam kenyataan MUFC menjelaskan, Nazrolerwan bekas pemain yang tidak asing lagi dalam Liga Malaysia pada era 2000 serta karier kejurulatihan bermula bersama PDRM FC sebagai penolong jurulatih pada 2014 sebelum bersama Perlis, UiTM FC, Puchong Fuerza dan Kelantan United FC.

Mohd Asri pula kekal buat musim keempat sejak 2019 menerusi pengalaman membimbing skuad Piala Presiden Melaka pada 2003 selain Negeri Sembilan dari 2015 hingga 2017.

"Sementara Azlisham yang juga bekas penjaga gol berpengalaman pernah bersama Selangor selaku jurulatih penjaga gol pada musim 2008, 2016 dan 2017.

"MUFC juga turut melantik Dzevad Saric,38 selaku jurulatih kecergasan menerusi pengalaman sebagai penolong pengurus dan pengarah teknikal bersama beberapa kelab sekitar Eropah dan Asia," katanya.

Sehubungan itu, kelab berkenaan mengharapkan keempat-empat jurulatih terbabit bakal membantu Vidakovic menyediakan barisan terbaik skuad Hang Tuah musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:53 PM