MOHD Asri (dua kanan) ketika mengendalikan latihan bersama pemain Melaka. FOTO ihsan MELAKA UNITED
MOHD Asri (dua kanan) ketika mengendalikan latihan bersama pemain Melaka. FOTO ihsan MELAKA UNITED
Nazri Abu Bakar


Melaka: Penolong jurulatih Melaka United FC (MU), Mohd Asri Ninggal berazam memberikan yang terbaik selepas diberi peranan sebagai jurulatih interim skuad itu.

Mohd Asri yang pernah mewakili Kuala Lumpur, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Melaka sekitar 1980-an dan 1990-an turut memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk membimbing skuad Piala Presiden Melaka dan ketua jurulatih Negeri Sembilan.

Baginya, tanggungjawab kali ini akan dipikul sebaik mungkin dalam usaha meletakkan pasukan itu ke landasan betul selepas pemecatan ketua jurulatih, Risto Vidakovic.

Katanya, fokusnya kini menyediakan pasukan mantap bertemu Sri Pahang pada perlawanan kelima Liga Super di Kuantan, malam esok dengan harapan anak buahnya membawa pulang tiga mata.

"Walaupun kurang menjadi pada empat perlawanan awal, saya dapati belum terlewat untuk pemain kembali bangkit dengan sentuhan lebih baik.

"Diharapkan pemain mampu menterjemah taktikal disusun untuk bergerak sebagai sebuah pasukan sama ada ketika bertahan, mengatur gerak dan menyerang.

"Justeru amat penting untuk kesebelasan utama bertindak cemerlang manakala pemain gantian sentiasa bersedia untuk tampil dengan sumbangan positif mengikut perancangan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian awal, semua pemain import yang cedera kian pulih termasuk pemain sayap dari Ghana, Emmanuel Oti serta Olusegun Ifedayo dan Adriano Narcizo.

Namun, menurutnya, situasi Adriano belum dapat dipastikan dan dia mengharapkan mereka dapat diturunkan bersama pada perlawanan malam esok.

Katanya, dia berharap semua pemain import dapat diturunkan untuk berganding dan membentuk sentuhan bersama Sony Norde dan Justin Baas selepas mereka tidak beraksi berdepan Sabah FC sebelum ini.

Dalam empat perlawanan sebelum ini, Melaka tewas kepada PJ City, Sabah FC dan KL City dengan mata tunggal diperoleh selepas mengikat Penang FC 1-1 di Stadium Bandaraya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:18 PM