PEMAIN Frankfurt meraikan kemenangan di  Camp Nou.
PEMAIN Frankfurt meraikan kemenangan di Camp Nou.
Reuters

Barcelona: Eintracht Frankfurt mencipta kejutan terbesar selepas menewaskan Barcelona 3-2 menerusi dua jaringan pemain sayap, Filip Kostic untuk mara ke separuh akhir Liga Europa.

Pemain Serbia, Kostic menjaringkan penalti minit keempat dan menambah satu lagi minit ke-67 hasil rembatan rendah selepas Rafael Borre meledak gol kedua minit ke-36 untuk kedudukan agregat 4-3 sekali gus kemenangan sensasi di Camp Nou.

Barcelona yang menjadi pilihan selepas seri 1-1 pada aksi pertama di Jerman minggu kurang menyengat dan terlepas beberapa peluang sebelum menembusi gawang lawan pada minit akhir perlawanan menerusi rembatan Sergio Busquets dan penalti Memphis Depay.

"Saya hilang kata-kata," kata penjaga gol Eintracht, Kevin Trapp. "Tiada siapa menjangkakannya. Semua orang sangka kami derita di sini.

"Kami berjaya merebut peluang dan hari ini kami sangat berkesan. Kami mara ke peringkat empat terakhir dan mahu sejauh yang boleh."

Eintracht yang kali terakhir mara ke saingan separuh akhir pada 2019 dan belum tewas di tempat lawan pada aksi Liga Europa musim ini akan menentang West Ham yang menewaskan Lyon dengan agregat 4-1.

"Apa yang kami lakukan hari ini tidak mencukupi walaupun mendapatkan gol pada saat akhir," kata jurulatih Barca, Xavi. "Sangat kecewa, kami beraksi dengan baik tetapi tak cukup ruang untuk menghukum mereka."

Dua gol pada masa kecederaan sudah terlalu lewat buat Barca yang menguasai 70 peratus permainan tetapi hanya membuat 10 percubaan ke gawang lawan berbanding Eintracht (16).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 7:41 AM