PEMAIN sayap Eintracht Frankfurt, Ansgar Knauff (kanan) menjaringkan gol pada minit pertama ketika menentang West Ham United. FOTO AFP
PEMAIN sayap Eintracht Frankfurt, Ansgar Knauff (kanan) menjaringkan gol pada minit pertama ketika menentang West Ham United. FOTO AFP
Reuters

London: Pemain sayap Eintracht Frankfurt, Ansgar Knauff menjaringkan gol pada minit pertama untuk menang 2-1 ke atas West Ham United pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa, malam tadi.

Keputusan itu merancakkan lagi persaingan apabila kedua-dua pasukan memburu penampilan pertama di Eropah dalam tempoh 40 tahun.

Kali terakhir mereka bertemu di separuh akhir kejohanan Eropah menyaksikan West Ham menang secara agregat untuk mara ke final Piala Pemenang Piala pada 1976.

Bagaimanapun, pasukan pelawat mengejutkan anak buah David Moyes selepas 49 saat permainan apabila Rafael Borre membuat hantaran lintang yang ditanduk masuk Knauff, 20, sekali gus membuatkan 60,000 penonton di Stadium London terdiam.

Selepas menyingkirkan pasukan ternama, Barcelona di suku akhir, pemain Eintracht tidak mahu mensia-siakan peluang di separuh akhir.

"Saya tidak pasti sama ada sudah melakukan sesuatu yang istimewa. Tetapi, sama seperti menentang Barcelona, kami memberi tekanan kepada mereka sebaik sepak mula," kata Knauff kepada media.

West Ham memiliki beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan termasuk pada minit ke-14 apabila Jarrod Bowen menerima hantaran cantik di dalam kotak penalti, tetapi percubaannya terkena tiang gol sebelah kanan.

Pasukan Liga Perdana Inggeris itu menyamakan kedudukan pada minit ke-21 apabila Kurt Zouma mengumpan kepada penyerang, Michail Antonio, untuk menjadikan kedudukan 1-1 menerusi rembatan jarak dekat.

"Hari ini kami tidak bermain dengan baik," kata Antonio.

"Ini bukan caranya kami mahu memulakan perlawanan. Kami menguasai perlawanan dan mencipta beberapa peluang, tetapi gagal disudahkan. Ia belum berakhir dan kami bersedia untuk menang."

Eintracht kembali di depan pada minit ke-54 apabila penjaga gol West Ham, Alphonse Areola menampan percubaan pemain tengah, Djibril Sow, tetapi tidak mampu menghalang percubaan susulan Daichi Kamada, yang juga gol kelima Liga Europa musim ini bagi pemain Jepun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 7:43 AM