PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi amaran terhadap pendapat menyatakan perlawanan dengan Manchester City, Ahad ini, sebagai penentu gelaran Liga Perdana Inggeris.

Jika menang di Stadium Etihad, ia adalah kemenangan ke-11 berturut-turut Liverpool dalam liga dan meletakkan mereka dua mata di depan City di tangga teratas dengan baki tujuh lagi perlawanan.

Namun, jika menang ke atas City sekalipun, tiada jaminan Liverpool akan menamaykan musim ini dengan mudah apabila turut berdepan seteru setempat, Everton serta musuh tradisi, Manchester United pada hujung bulan ini.

Liverpool akan berkunjung ke Manchester dengan bekalan kemenangan 3-1 di Benfica pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah yang kini meletakkan juara Eropah enam kali itu sebelah kaki ke separuh akhir.

"Jika kami menang ke atas City dan sudah tentu perlawanan sukar, saya tidak fikir seseorang akan berkata, 'sudah sah, liga sudah diputuskan', kerana kualiti setiap lawan," kata Klopp, semalam.

"Kami bermain menentang pasukan terbaik di dunia dan harus mencuba sebaik mungkin.

"Semua orang tahu kepentingan perlawanan berikutnya, tetapi selepas perlawanan ini, ada lagi perlawanan dalam kejohanan lain dan diikuti Liga Perdana.

"Jika tidak dapat menduduki tempat pertama, anda mahu tempat kedua. Jika kamu di bekalang, sudah tentu mahu rapat dan apabila rapat mengekori, kamu mahu memintas pula.

"Itu adalah situasi sekarang dan kami akan mencuba sebaik mungkin."

Liverpool berada pada landasan terbaik untuk menang empat trofi musim ini selepas menjulang Piala Liga Inggeris, Februari lalu.

Tetapi, Klopp berkata: "Kami di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, separuh akhir Piala FA dan tempat kedua liga, tetapi lebih jauh anda melangkah dalam kejohanan, tugas semakin berat."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 9:27 AM