MANE (tengah) bersama Salah (kiri) akan kembali bersatu bersama Liverpool. FOTO AFP
MANE (tengah) bersama Salah (kiri) akan kembali bersatu bersama Liverpool. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool dan Manchester City menyambung pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris, esok, pada ketika kedua-dua pasukan berpeluang cerah dan gelaran mungkin ditentukan pada bulan ini.

City yang memburu 'treble' berada satu mata di tangga teratas, tetapi Liverpool terus menunjukkan aksi cemerlang dan merapatkan jurang daripada perbezaan 14 mata antara kedua-dua pasukan dalam beberapa minggu.

Jurgen Klopp dan Pep Guardiola akan berentap dua kali pada bulan ini.

Perlawanan pertama berpotensi menentukan gelaran di Etihad pada 10 April sebelum aksi separuh akhir Piala FA di Wembley pada minggu berikutnya.

Liverpool menanti Watford di Anfield manakala City berkunjung ke Burnley yang menjadi aksi pembuka minggu bagi kedua-dua pasukan yang akan turun pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara Eropah.

"Sejak beberapa tahun terbabit dalam bola sepak, saya tidak pernah berdepan bulan yang mengujakan apabila perlawanan penting serta menarik dalam tempoh tiga hari," kata pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara.

Dia yang pernah menang Liga Juara Eropah bersama Barcelona dan Bayern Munich berkata: "Ia sungguh menakjubkan."

Bagaimanapun, Watford dan Burnley dalam keadaan terdesak memburu mata untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Klopp berdepan kesukaran untuk mengimbangi pasukan termasuk dalam segi emosi selepas ramai pemain bintangnya terbabit dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Sadio Mane sekali lagi mengatasi Mohamed Salah apabila Senegal menewaskan Mesir menerusi sepakan penalti untuk layak ke Piala Dunia di Qatar, selepas menang Piala Afrika menerusi sepakan penalti, dua bulan lalu.

Nasib berbeza turut dialami dua anak buah pengurus Jerman itu apabila Diogo Jota membantu Portugal layak, manakala Luis Diaz gagal memastikan kemaraan Colombia.

Liverpool yang akan bermain lebih awal berpeluang menduduki tanggal teratas liga buat kali pertama sejak Oktober.

Namun City yakin kembali semula ke puncak liga selepas rekod cemerlang sembilan kemenangan berturut-turut ke atas Burnley dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 10:26 AM