KLOPP memantau sesi latihan pemainnya di Liverpool.
KLOPP memantau sesi latihan pemainnya di Liverpool.
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan aksi getir separuh akhir Piala FA menentang Manchester City tidak menjejaskan pemilihan pemainnya untuk saingan Liga Juara-Juara menentang Benfica, esok.

Minggu lalu, Reds yang memburu empat trofi musim ini seri 2-2 dengan City untuk kekal satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana itu.

Mereka akan menentang City sekali lagi pada saingan empat terakhir Piala FA di Wembley Sabtu ini tetapi terlebih dahulu pemenang enam kali Piala Eropah itu akan menentang Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield.

Liverpool yang menewaskan Chelsea menerusi penalti untuk menjuarai Piala Liga Februari lalu mendahului 3-1 selepas menang di Portugal yang menimbulkan spekluasi Klopp akan merehatkan pemain utama menjelang aksi Piala FA.

Tetapi pengendali dari Jerman itu ketika sidang media awal padi tadi menegaskan: "Perlawanan selepas ini tidak mempengaruhi barisan pemain esok tetapi aksi terakhir ya. Jadi kami perlu tunggu dan lihat. Ia jadual sangat tegang."

Klopp berkata: "Tiada sesiapa cedera tetapi kami perlu pantau siapa lebih cergas untuk perlawanan ini."

Mengenai misi empat piala, Klopp berkata: "Kami masih dalam empat kejohanan dan kami bersyukur tidak tersingkir lebih awal. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapainya."

Jika Liverpool menewaskan Benfica, mereka akan menentang Villarreal pada saingan empat terakhir dan selepas pertembungan berpotensi pertengahan minggu, Liverpool akan berkunjung ke Newcastle untuk aksi liga, sesuatu yang tidak disenangi Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 8:58 AM