POGBA dijangka tinggalkan Man United.
POGBA dijangka tinggalkan Man United.
Agensi

London: Paris Saint Germain dilapor menawarkan kontrak kepada Paul Pogba yang dijangka meninggalkan Manchester United pada musim panas.

Kontrak Pogba bersama United tamat penghujung musim dan kemungkinan dia tidak akan menandatangani perjanjian baharu.

Pemain tengah Perancis itu berdepan prestasi tidak menentu di Red Devils dan baru-baru ini melahirkan kekecewaan mengenai United yang hanya menjulang dua trofi dalam masa lima tahun iaitu Piala Liga dan Liga Europa ketika dikendalikan Jose Mourinho pada 2017.

Kemarau itu tampaknya berterusan musim ini selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara bulan lalu selepas tewas kepada Atletico Madrid.

Menurut Manchester Evening News, kelab Paris itu mahu membawa Pogba balik ke negaranya. Jika pemain berusia 30 tahun itu bersetuju dengan kontrak ditawarkan gergasi Ligue 1 itu, mereka akan memperolehinya dengan yuran percuma.

Laporan turut menyebut PSG menawarkannya kontrak lebih rendah daripada gaji £500,000 seminggu yang diterima di United pada Januari lalu.

Pogba dilaporkan baru-baru ini mengakui dia sedia menyertai mereka.

Ketika ditanya oleh media Perancis, Le Figaro mengenai perpindahan ke PSG, Pogba berkata: "Mengapa tidak? Cukup menarik dapat beraksi dengan rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan dan kelab."

Bagaimanapun, spekulasi turut mengaitkan Pogba dengan kelab lamanya, Juventus namun gergasi Serie A itu mungkin tidak mampu membayar gajinya sekali gus memberi peluang kepada PSG mendapatkan Pogba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 7:20 PM