POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG dan Real Madrid selain Juventus. FOTO EPA
POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG dan Real Madrid selain Juventus. FOTO EPA
Agensi

London: Manchester United menawarkan Paul Pogba kontrak baharu dengan gaji mencecah £500,000 (RM2.8 juta) seminggu.

Kontrak pemain berusia 28 tahun itu akan berakhir pada musim panas ini dan dia bebas untuk mengadakan perbincangan dengan kelab lain sekitar Eropah pada bulan ini.

Pogba, pemenang Piala Dunia bersama Perancis, menjadi sasaran Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid, malah kelab lamanya, Juventus turut berminat mendapatkannya.

SunSport difahamkan dia belum lagi membuat keputusan untuk menandatangani kontrak baharu.

Sumber United berkata kelab itu bimbang Pogba akan meninggalkan mereka namun tawaran baharu itu menyaksikan peningkatan gaji sekitar £100,000 (RM570,000) yang mana dia tidak akan memperoleh tawaran seperti itu di kelab Eropah lain.

Ia bakal menyaksikannya menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana dengan gaji asas sekitar £400,000 (RM2.2 juta) seminggu sebelum tambahan £100,000 itu.

United enggan menjual Pogba bulan ini, peluang terakhir kelab itu untuk memperoleh wang lumayan jika menjual bintang Perancis itu.

Bagaimanapun kelab itu tetap bersedia jika Pogba mahu meninggalkan United dengan menyenaraikan beberapa pemain tengah yang menjadi sasaran mereka.

Antaranya ialah bintang West Ham dan England, Declan Rice yang dipercayai menjadi pilihan utama pada jendela perpindahan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 9:08 AM