Ketua Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt ketika sesi latihan pasukannya. FOTO File NSTP
Ketua Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt ketika sesi latihan pasukannya. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad Liga Super UiTM FC, mengharapkan tuah Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak apabila mereka turun berdepan juara dua kali, Kelantan pada pusingan pertama saingan Piala Malaysia 8 November ini.

Pemain pertahanan UiTM FC, Muhamad Afif Asyraf mengakui, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang ketika ini, menyukarkan persiapan skuad The Lion Troops, namun beliau percaya taktikal pengendali pasukan itu Frank Bernhardt, mampu membantu mereka mara lebih jauh pada kempen kali ini.

"Memang Kelantan lebih bernasib baik apabila mereka dapat berlatih dengan normal, kerana di Kota Bharu tidak dilaksanakan PKPB berbanding kami di sini, tetapi saya rasa semua pemain sudah tahu apa perlu dibuat, tidak kira macam mana kami berlatih pun.

"Sebelum ini sempat berlatih di Seremban dalam beberapa hari sebelum kami sambung berlatih di Lembah Klang, jadi rasanya tiada masalah untuk kita tetap memberi cabaran sengit kepada Kelantan nanti," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pencapaian terbaik UiTM FC pada saingan Piala Malaysia adalah sekadar peringkat kumpulan pada tiga edisi 2017, 2018 dan 2019.

Pemenang perlawanan berkenaan dijadual menentang pemenang perlawanan pusingan pertama di antara Pulau Pinang dan Felda United, pada peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 12 dan 13 November ini.

Aksi antara Pulau Pinang dan Felda United bakal berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 6 November ini.

MFL memutuskan untuk menggunakan format kalah mati bermula pusingan pertama sehingga aksi separuh akhir Piala Malaysia, disebabkan kekangan masa akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan kempen Liga Malaysia tertangguh selama lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:44 PM