AKSI kapten Sri Pahang FC, Muslim (kiri). FOTO Ihsan Sri Pahang FC
AKSI kapten Sri Pahang FC, Muslim (kiri). FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad mengakui cabaran getir bakal dihadapi skuad itu apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Rabu ini.

Namun, pemain pertahanan itu percaya peluang untuk membawa pulang mata tetap ada biarpun ia adalah perlawanan pertama skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini.

"Ketika pasukan lain sudah bermain dua dan satu perlawanan, Sri Pahang yang tidak dapat beraksi kerana Covid-19 sudah bersedia untuk mempamerkan prestasi terbaik.

"Biarpun memulakan kempen Liga Super di tempat lawan, kami akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memberi tentangan kepada tuan rumah.

"Semestinya kunjungan ke Alor Setar ialah untuk mengutip tiga mata dan kami akan mempamerkan persembahan yang meyakinkan sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Berdasarkan jadual awal Liga Super, Sri Pahang sepatutnya memulakan kempen liga itu berdepan Terengganu FC dan disusuli Selangor FC, masing-masing pada 5 dan 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, dua perlawanan itu ditunda akibat sebahagian pemain dan pegawai pasukan itu dijangkiti Covid-19.

Mengulas prestasi skuad itu, Muslim berkata, perlawanan menentang Manjung City FC pada pusingan pertama Piala FA lalu turut membantu skuad itu meningkatkan motivasi.

Katanya, mara ke pusingan kedua piala berprestij itu juga memberi lebih keyakinan untuk beraksi dengan lebih bagus.

"Oleh itu saya harap rakan sepasukan dapat memberikan tentangan kerana KDA FC mencatat kemenangan pada dua perlawanan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 4:59 PM