RONDON (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
RONDON (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Everton berjaya mengelak daripada kejutan paling besar dalam sejarah Piala FA apabila menewaskan pasukan bukan liga, Boreham Wood 2-0 hari ini hasil dua jaringan Salomon Rondon untuk melangkah ke suku akhir.

The Toffees diketuai pemain antarabangsa Ukraine, Vitalii Mykolenko pada hari salah seorang rakan kongsi kelab, Alisher Usmanov, dikenakan tindakan oleh kerajaan British susulan konflik Russia-Ukraine.

Usmanov adalah rakan perniagaan pemilik Everton, ahli perniagaan berketurunan British-Iran, Farhad Moshiri.

Usmanov menaja padang latihan Everton menerusi firmanya, USM Holdings dan mempunyai hak untuk nama stadium baharu kelab berkenaan.

Everton menggantung penajaan dengan USM serta satu lagi syarikat Rusia, Megafon dan Yota dengan papan iklan mereka diturunkan menjelang aksi puisngan kelima Piala FA di Goodison Park.

Frank Lampard meletakkan Richarlison dibangku simpanan tetapi pemain antarabangsa Brazil itu diperlukan pada babak kedua.

Rondon hanya menjaringkan satu gol musim ini tetapi dia berjaya menyelamatkan skuad bimbingan Lampard apabila menjaringkan gol minit ke-57.

Richarlison menyaksikan jaringannya dibatalkan VAR kerana ofsaid, tetapi Rondon memastikan kemenangan dengan tandukan enam minit sebelum tamat permainan.

Everton akan berkunjung ke Crystal Palace pada aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:25 AM