RICHARLISON dilaporkan mengikat kontrak bersama Everton lima tahun. FOTO/AFP
RICHARLISON dilaporkan mengikat kontrak bersama Everton lima tahun. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Everton menandatangani penyerang Brazil, Richarlison dari Watford sekali gus pembelian pertama pengurus baru, Marco Silva yang kembali ke kelab lamanya.

Terma perjanjian tidak didedahkan tetapi media British melaporkan Everton membayar 40 juta pound (RM213 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 21 tahun itu dengan kontrak lima tahun.

“Saya fikir sangat penting untuk berada di sini bersama Marco Silva sekali lagi,” kata Richarlison dalam laman web kelab. “Saya masih lagi dalam proses belajar dan membesar untuk menjadi pemain yang baik.”

Silva membeli Richarlison dari Fluminense pada Ogos tahun lalu ketika dia menjadi pengurus di Vicarage Road selepas pemain itu mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Piala Dunia Bawah 20 Tahun Brazil.

“Prestasi saya meningkat ketika bersama Silva di Watford dan yakin suatu hari saya akan tersenarai dalam skuad kebangsaan Brazil.

“Itu harapan pada masa depan tetapi sekarang bersama Everton dan saya mahu menjadikan impian menjadi realiti dengan salah satu kelab terbesar di England,” katanya.

Richarlison menjaringkan lima gol untuk Watford dalam 12 penampilan pertama tetapi berdepan kemarau jaringan sejak November lalu.

Dia adalah pembelian pertama Everton sejak pengurus dari Portugal, Silva mengambil alih tugas Sam Allardyce yang dipecat pada Mei lalu.

“Dia pemain muda yang akan menjadikan pasukan kami lebih kompetitif dalam saingan liga musim ini,” kata Silva.

Everton yang menduduki tempat kelapan musim lalu akan membukat tirai Liga Perdana dengan menentang pendatang baru, Wolverhampton Wanderers pada 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 9:55 AM