PENYERANG Everton, Richarlison menjaringkan dua gol untuk pasukannya. FOTO Reuters
PENYERANG Everton, Richarlison menjaringkan dua gol untuk pasukannya. FOTO Reuters
Reuters

Burnley: Tempoh 68 tahun Everton dalam liga utama bola sepak Inggeris mungkin berakhir apabila tewas 2-3 kepada Burnley, malam tadi, menyebabkan pengurus, Frank Lampard tercari-cari jawapannya.

Everton hanya menang dua daripada sembilan perlawanan selepas bekas pemain dan pengurus Chelsea itu membimbing pasukan dalam misi kekal di Liga Perdana, berikutan Rafa Benitez dipecat pada Januari lalu.

Kelab Merseyside itu mensia-siakan kelebihan 2-1 pada babak pertama apabila kesilapan pemain pertahanan, Ben Godfrey membolehkan Maxwel Cornet menjaringkan gol kemenangan Burnley pada minit ke-85.

"Satu-satunya cara untuk kami menunjukkan sesuatu adalah di atas padang. Kami ada baki sembilan perlawanan dan saya akan melakukan segalanya untuk aksi ini," kata Lampard.

Pemainnya kelihatan kecewa selepas wisel penamat, tetapi kata-kata rakan sejawat Lampard iaitu Sean Dyche cukup mengejutkan.

"Ada merasakan berdepan pasukan yang tidak tahu bagaimana untuk menang. Saya memberitahu pemain, pasukan lawan tidak tahu bagaimana mencipta kemenangan di tempat lawan," kata Dyche apabila ditanya mengenai pesanannya kepada pemain ketika rehat untuk bangkit memadamkan kelebihan dua gol penalti Richarlison.

Everton hanya menang sekali di tempat lawan sepanjang musim ini dan memiliki rekod buruk apabila hanya mengumpul enam mata daripada 15 kunjungan di tempat lawan.

Kemenangan itu membolehkan Burnley naik ke tangga ke-18 mengatasi Watford dan satu mata di belakang Everton serta zon selamat.

Everton akan menanti kunjungan Manchester United, Sabtu ini iaitu satu daripada siri aksi sukar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 8:42 AM