RICHARLISON
RICHARLISON
Reuters

LONDON: Pemain baru Everton, Richarlison yakin dia boleh mengembalikan sentuhan jaringan dipamerkannya bersama Watford pada awal musim lalu.

Penyerang Brazil itu meledak lima gol dan empat umpanan gol dalam 12 aksi pertama liga buat Watford namun tidak berjaya menjaringkan gol dalam 28 perlawanan bagi semua pertandingan sejak November lalu.

“Saya akan terus memberikan segala-galanya, berjuang di tengah padang dan itulah yang akan saya lakukan selepas ini,” kata Richarlison kepada media Britain.

Perpindahan ke Everton menyatukan semula pemain berusia 21 tahun itu dengan bekas bos Watford, Marco Silva. Silva dipecat Watford Januari lalu selepas “pendekatan tidak wajar” menyukarkannya menyesuaikan diri.

Everton menyasarkan Silva bagi menggantikan pengendali dari Belanda, Ronald Koeman November lalu namun tidak dibenarkan untuk berunding dengannya sebaliknya melantik bekas pengurus England, Sam Allardyce.

“Ada beberapa kesukaran apabila Marco pergi tapi ia lebih kerana masalah bahasa... Ia bukan alasan, sebarang penurunan dari segi persembahan tiada kena mengena dengan pemergian Marco. Bukan hanya saya merudum, ia penurunan prestasi pasukan secara keseluruhan,” kata Richarlison.

Everton bertandang ke kelab pendatang baru Wolverhampton Wanderers bagi aksi pembuka tirai musim Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 6:48 PM