Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak mengakui persiapan pasukannya kurang mantap tatkala memulakan sesi latihan agak lewat akibat pandemik Covid-19 selain tidak banyak aksi persahabatan diadakan selepas beberapa perlawanan terpaksa dibatalkan.

Namun pengendali kelahiran Croatia itu tetap melakukan persiapan rapi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki reputasi selaku juara Liga Super lapan musim berturut-turut pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Hodak juga tampak lega selepas Romel Morales dan Paolo Josue sudah kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan manakala J Partiban turut pulih akibat keracunan makanan, baru-baru ini.

"Walaupun mereka belum 100 peratus cergas tapi apa yang menggembirakan adalah saya kembali mendapat skuad penuh yang akan berusaha memberi saingan kepada JDT dan kita tahu menentang pasukan itu di laman mereka sendiri sememangnya mencabar.

"Ia perlawanan yang menarik kerana saya tidak perlu meningkatkan motivasi pemain sebaliknya mereka sendiri yang bermotivasi untuk beri persembahan terbaik apabila menentang kelab yang hebat seperti JDT malah tekanan bukan kepada kami sebaliknya JDT yang berada dalam tekanan.

Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak
Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak

"Walaupun aksi Piala Sumbangsih tidak mengundang mata namun kami tetap serius untuk berdepan JDT tatkala aksi itu mempertaruhkan piala. Apapun aksi menentang Selangor FC pada perlawanan pertama liga lebih penting buat kami," kata Hodak.

Ditanya mengenai beberapa muka baharu dalam skuad KL City FC, Hodak menegaskan mereka sudah menunjukkan keserasian dan tidak berdepan masalah mengadaptasi corak permainan yang dipraktikkan terutama pemain import Kevin Koubemba yang boleh beraksi di posisi serangan.

Dalam pada itu, penyerang KL City FC, Safee Sali berharap mampu beri persembahan terbaik dan mengidamkan untuk memulakan kancah Liga Malaysia (Liga M) dengan langkah kanan bagi memberi lebih keyakinan mengharungi kempen liga.

"Aksi menentang JDT pasti menarik dan kami akan cuba memenangi Piala Sumbangsih walaupun kami tahu sukar tatkala JDT memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri namun dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku.

Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora. -FOTO NSTP
Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora. -FOTO NSTP

"Kelebihan KL City FC adalah ramai pemain musim lalu dikekalkan dan kami tahu apa kehendak jurulatih apabila kami beraksi di padang dan saya optimis kami ada kelebihan yang mampu gugat JDT walaupun kami hadir selaku pasukan bukan pilihan," kata Safee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:51 PM