Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pemangku Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac memuji aksi cemerlang anak buahnya selepas membenam Penang FC 4-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.

Jurulatih dari Croatia itu menyifatkan semua pemain skuad Warga Kota mempunyai kualiti permainan yang bagus dan menyumbang kepada kejayaan pasukan itu.

"Tahniah kepada pemain, mereka bermain sangat baik daripada segi taktikal. Separuh masa pertama ia berlaku seperti apa yang dirancang dan dijangka serta kami dapat menjaringkan tiga gol.

"Saya tidak mahu memilih mana-mana satu daripada mereka kerana semua hebat, bagus dan menyerlah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.

Kuljanac turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi pasukan yang mencetak sembilan gol setelah mengharungi dua perlawanan termasuk menundukkan Kelantan FC, FC, 5-1 dalam kancah Liga Super, minggu lalu.

"Dalam dua perlawanan terakhir ini saya beritahu pemain, mereka perlu ada gerakan bagus dan berada pada posisi yang baik.

"Kemudian saya memilih taktik yang ingin digunakan. Kami menjaringkan sembilan gol dan hanya bolos satu gol dalam dua perlawanan," kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Menurutnya, bagi perlawanan Liga Super menentang Selangor FC, Selasa ini, skuad itu akan dikendalikan jurulatih baharu, Nenad Bacina.

Katanya, dia melakukan tugasnya sebaik mungkin selepas pemergian Bojan Hodak dan apabila jurulatih baharu tiba, dia akan menyediakan segala-galanya untuk membantunya.

KULJANAC puas hati kejayaan KL City FC menang 4-0 ke atas Penang FC pada aksi sulung Piala Malaysia, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
KULJANAC puas hati kejayaan KL City FC menang 4-0 ke atas Penang FC pada aksi sulung Piala Malaysia, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:22 PM