RONALDO mungkin tidak diperlukan United lagi. FOTO Reuters
RONALDO mungkin tidak diperlukan United lagi. FOTO Reuters
Agensi

London: Mauricio Pochettino tak mahu Cristiano Ronaldo terus kekal di Manchester United jika dia dilantik menjadi pengurus tetap kelab itu, menurut laporan semalam.

Pochettino antara calon pilihan menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus tetap Red Devils dan Ronaldo dijangka salah seorang 'mangsa' pelantikannya.

Ronaldo mengikat kontrak dua tahun apabila kembali ke Old Trafford pada musim panas lalu dan menyinar di Liga Juara-Juara dengan meledak enam gol dalam lima aksi peringkat kumpulan awal musim ini.

Bagaimanapun, dia bergelut di Liga Perdana apabila hanya menjaringkan lapan gol dalam 19 penampilan.

Dia tidak disenaraikan oleh Ralf Rangnick dalam kesebelasan utama United ketika seri 1-1 di Burnley kelmarin dan menurut wartawan ESPN, Mark Ogden, pengurus sementara, Rangnick bukan seorang sahaja yang tidak tertarik dengan pemain berusia 37 tahun itu.

Pochettino telah lama dikaitkan dengan tugas di United dan dijangka mengambil alih jawatan itu jika dia meninggalkan Paris Saint-Germain pada musim panas.

Tetapi Ogden berkata, bekas pengurus Tottenham itu tidak mahu pemain seperti Ronaldo dalam skuadnya.

Bercakap kepada ESPN FC, Ogden berkata: "Saya berani meramalkan Ronaldo tiada lagi di United musim depan, dia tidak sesuai.

"Apabila pengurus baharu dilantik sama ada Pochettino atau orang lain, sudah pasti mereka tidak perlukan Ronaldo lagi. Mereka mahukan seorang yang bekerja keras."

United menewaskan pencabar Manchester City untuk mendapatkan tandatangan Ronaldo pada musim panas lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 9:37 AM