POCHETTINO calon utama bimbing Man United. FOTO EPA
POCHETTINO calon utama bimbing Man United. FOTO EPA
Agensi

London: Mauricio Pochettino hanya menunggu panggilan untuk menjemputnya menjadi pengurus di Manchester United sekali gus menafikan kenyataannya yang sering berkata akan setia bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Panggilan itu akan menjadi kenyataan sebelum musim panas ini dan terdapat petunjuk yang jelas beliau akan menerima tawaran berkenaan.

Pengendali PSG itu adalah calon paling sesuai bagi mengembalikan zaman kegemilangan United ketika di bawah bimbingan Alex Ferguson yang melepaskan jawatannya lapan tahun lalu.

Sama ada Pochettino atau sesiapa sahaja termasuk Rangnick jika menggalas jawatan pengurus tetap, mereka perlu menangani masalah di Old Trafford ketika ini.

Bintang utama United, Cristiano Ronaldo yang di atas kertas adalah penyelamat utama United musim ini, tetapi dijadikan sasaran kritikan apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

United sebelum kehadiran semula Ronaldo dilihat mempunyai perancangan rapi dengan Ole Gunnar Solskjaer pula berada dalam kedudukan selamat.

Bagaimanapun corak permainan mereka berubah apabila Solskjaer cuba menyesuaikan Ronaldo ke dalam skuad dan mengorbankan posisi Mason Greenwood.

Akhirnya percaturan itu memakan diri dan Solskjaer terus kempunan untuk menghadiahkan trofi kepada bekas kelabnya di mana dia bergelar sebagai legenda ketika menjadi pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 10:04 AM