IBRAHIMOVIC bantu Milan kembali ke tangga teratas Serie A selepas meledak dua gol. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC bantu Milan kembali ke tangga teratas Serie A selepas meledak dua gol. FOTO AFP
AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic berjaya memecahkan rekod jaringan melebihi 500 gol sepanjang kariernya di kelab selepas meledak dua gol ketika membantu AC Milan berada di tangga teratas Serie A dengan kemenangan 4-0 ke atas Crotone.

"Susah untuk melihat Ibrahimovic tidak melakukan kejutan," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli mengenai kehebatan penyerang berusia 39 tahun itu yang membawa pasukannya berada pada landasan tepat untuk meraih 'Scudetto' buat kali pertama sejak 2011.

Milan kembali berada di tangga teratas dengan kelebihan dua mata mengatasi musuh setempat Inter Milan yang sebelum ini mendahului liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Fiorentina Sabtu lalu.

Penyandang juara, Juventus kurang lima mata untuk berada di tempat ketiga selepas mengalahkan Roma 2-0 semalam.

Ibrahimovic membuka jaringan selepas setengah aksi berlangsung di San Siro selepas berganding baik bersama Rafael Leao untuk meledak jaringan ke-500 sepanjang kariernya bersama sembilan kelab berbeza.

Pemain kelahiran Sweden itu mengumpul jaringan yang ke-501 pada minit ke-64 apabila menyudahkan hantaran lintang Theo Hernandez bagi golnya yang ke-83 buat Milan.

"Untuk berada pada tahap seperti itu anda seharusnya menjadi seorang pemain profesional yang luar biasa dan dia dibantu dengan kelebihan fizikal.

"Dia adalah sang juara, atlet yang mempunyai motivasi tinggi sentiasa menjaga bentuk tubuhnya. Adakalanya dia kepenatan tapi tidak pernah gagal," kata Pioli.

Ante Rebic meletakkan pasukan berkenaan dalam kemenangan lebih selesa selepas meledak dua gol dalam tempoh singkat.

Pemain antarabangsa Croatia itu menanduk masuk sepakan sudut Hakan Calhanoglu pada minit ke-69 dan beberapa saat selepas itu menambah gol kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 11:19 AM