GOULON (kiri) ketika beraksi bersama Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC
GOULON (kiri) ketika beraksi bersama Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gandingan dua pemain import iaitu Herold Goulon dan David Gordon Mawutur menjadi pelengkap kepada kekuatan bahagian pertahanan dan tengah Negeri Sembilan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah kehadiran mereka juga bakal menaikkan lagi motivasi dan keyakinan pemain tempatan dalam skuad Hobin Jang Hobin pada saingan Liga Super nanti.

Pemain pertahanan berpengalaman, A Namathevan, yakin dengan kehadiran Goulon dan David Mawutur, mampu meletakkan kekuatan skuad Negeri Sembilan pada tahap meyakinkan.

"Goulon tidak asing dalam saingan liga tempatan kita kerana dia pernah beraksi bersama Sri Pahang dan terbukti memiliki kemahiran tinggi dari segi kawalan bola selain berkeupayaan menjaringkan gol menerusi sepakan bola mati dan situasi bola tinggi.

"Saya berkeyakinan penuh dengan langkah pihak pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang membawa masuk pemain ini kerana kehadiran Goulon dapat menambah kekebalan bahagian pertahanan," katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Herold Goulon, 33, yang berasal dari Perancis juga dikatakan boleh beraksi di bahagian tengah.

Pemain bertubuh sasa itu beraksi tiga musim bersama Sri Pahang sejak 2019 dengan 39 penampilan dan menjaringkan 11 gol.

Mengenai, David Mawutur pula, Namathevan berkata, walaupun tidak banyak maklumat diketahui tentang pemain terbabit kerana bakal hadir buat pertama kali di pentas Liga M, namun yakin dengan rekod yang dia milikinya.

Bekas pemain Selangor FC itu berkata, David Mawutur yang berasal dari Ghana dan berusia 29 tahun dikatakan bakal beraksi di bahagian tengah dan kehadirannya sudah tentu dapat memperkasakan lagi bahagian berkenaan.

"Kombinasi terbaik antara pemain terbabit dengan tenaga tempatan pastinya akan dapat menghadirkan persembahan yang mantap buat pasukan dalam memacu kejayaan musim baharu ini nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:37 PM