PEMAIN Negeri Sembilan (jersi hitam) dalam aksi persahabatan persiapan pramusim di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Ihsan NSFC.
PEMAIN Negeri Sembilan (jersi hitam) dalam aksi persahabatan persiapan pramusim di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah melengkapkan senarai pemain import yang diperlukan selepas mengikat dua lagi pemain terbaharu iaitu Matheus Alves, 28, dari Brazil dan Kossi Adetu, 26, dari Ghana.

Sebelum ini, pasukan itu mendapatkan khidmat Herold Goulon, 33, dari Perancis, David Gordon Mawutur, 29 (Ghana) dan Amid Nazari, 30, (Sweden).

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, Alves yang beraksi di posisi penyerang bukan asing di pentas Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah beraksi dalam Liga Super bersama Sri Pahang pada 2017.

Katanya, pemain yang memiliki ketinggian 1.86 meter itu juga pernah beraksi di Thailand bersama Chonburi FC dan PT Prachuap, sebelum berkelana ke Korea Selatan untuk berkhidmat bersama kelab Chungnam Asan.

"Alves melakukan 146 penampilan dengan pelbagai kelab bola sepak sejak 2013 termasuk 21 penampilan bersama Sri Pahang dan menjaringkan 18 gol bersama Sri Pahang.

"Manakala Kossi yang juga pemain penyerang berasal dari Ghana, namun keluarganya berasal dari Togo, membolehkan dia pernah mewakili pasukan kebangsaan Togo sebelum ini.

"Pemain ini juga pernah beraksi di liga Liberia selama dua musim dan Liga Super Cyprus serta dinobatkan selaku penjaring terbanyak. Ini kali pertama dia beraksi dalam Liga M, namun pengalamannya sudah tentu dapat ditagih dalam memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan," katanya.

Devan yang juga pengurus pasukan berkata, kesemua pemain import terbabit sudah memulakan latihan bersama skuad Hobin Jang Hobin selepas mereka menamatkan tempoh kuarantin.

"Kita akan lihat tahap kecergasan mereka ini sebelum disenaraikan dalam beberapa aksi persahabatan yang sudah diatur," katanya.

Pengendali berpengalaman yang membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu itu, berkata pihaknya cuba membentuk pasukan terbaik berpandukan kemampuan kewangan kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 12:57 PM