AKSI persahabatan antara Negeri Sembilan (jersi hitam) dengan Selangor, Ahad lalu. FOTO NSFC
AKSI persahabatan antara Negeri Sembilan (jersi hitam) dengan Selangor, Ahad lalu. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) dijadual mengadakan lima lagi aksi persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata aksi berkenaan membabitkan pertemuan menentang Selangor II FC pada 5 Februari ini, diikuti Perak FC (8 Februari), Kuching City FC (15 Februari), KL City FC (20 Februari) dan Sri Pahang FC (25 Februari).

"Pada Ahad lalu, kita mengadakan perlawanan persahabatan menentang Selangor FC yang berkesudahan tewas 0-2. Sebelum itu, menentang KSR Sains FC (0-0), ATM FC (menang 1-0) dan dengan Kelantan FC seri 1-1.

"Buat masa ini keputusan perlawanan persahabatan tidak begitu penting kerana fokus kita pada peringkat awal persiapan ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap pemain beraksi dan dalam masa sama melihat persefahaman antara mereka.

"Kita juga sedang memastikan setiap posisi itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain. Setakat ini persiapan kita berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang posoitif. Malah terdapat peningkatan dari segi prestasi dan persefahaman yang dipamerkan pemain," katanya di sini, hari ini.

Selain pemain tempatan, NSFC juga sudah melengkapkan senarai lima pemain import musim ini iaitu Herold Goulon (Perancis), Amid Nazari (Sweden), Matheus Alves (Brazil) dan masing-masing David Gordon Mawutur serta Kossi Adetu dari Ghana.

Skuad Hobin Jang Hobin dijadual memulakan cabaran Liga Super musim ini menentang Sabah di Stadium Likas pada 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 6:11 PM