RODRI (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
RODRI (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City terus melebarkan jurang dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana selepas melakar kemenangan kontroversi 2-1 ke atas Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain.

City kini selesa dengan kelebihan 11 mata di tangga teratas liga berbanding Chelsea dan 12 mata mengatasi Liverpool. Chelsea dan Liverpool akan bertemu tengah malam ini dengan setiap pasukan mensasarkan kemenangan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat bersama pasukan pada perlawanan itu kerana positif Covid-19 buat kali kedua awal minggu ini.

Namun ia tidak memberikan impak besar kepada barisan pemainnya yang terus mempamerkan prestasi cemerlang mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Arsenal di depan selepas Bukayo Saka menyempurnakan hantaran Kieran Tierney dan mereka sepatutnya dapat menambah gol namun Martin Odegaard dinafikan sepakan penalti selepas dikasari penjaga gol City, Ederson.

Tuan rumah bertambah kecewa dengan pengadil pada separuh masa kedua apabila City dihadiahkan sepakan penalti selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati Granit Xhaka menolak Bernardo Silva dan Riyad Mahrez menyempurnakannya dengan baik.

Gabriel Magalhaes kemudian dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain hampir meraih satu mata berharga tetapi City akhirnya meraih kemenangan kali ke-11 berturut-turut selepas Rodri menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

"Kami dapat melihat personaliti sebagai pasukan juara sekali lagi.

"Anda perlu terus berusaha tidak kira apa yang akan berlaku. Kami tidak beraksi dengan baik tetapi terus berusaha dan yakin ia boleh dilakukan," kata Rodri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:56 AM