Penyerang Liverpool, Diogo Jota meraikan jaringan berdepan Arsenal dalam aksi Piala Liga pagi ini. FOTO Reuters
Penyerang Liverpool, Diogo Jota meraikan jaringan berdepan Arsenal dalam aksi Piala Liga pagi ini. FOTO Reuters
Reuters

London: Dua gol, Diogo Jota memastikan kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Arsenal pada aksi timbal balik saingan separuh akhir Piala Liga, pagi ini, sekali gus menempah tempat ke final berdepan Chelsea di Wembley.

Arsenal terikat 0-0 di Anfield, minggu lalu sekalipun sebahagian besar perlawanan pusingan pertama beraksi dengan 10 pemain selepas Granit Xhaka dilayangkan kad merah.

Liverpool tanpa Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita yang beraksi di Piala Negara Afrika memberi tekanan awal manakala percubaan penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette dari sepakan percuma terkenal palang gol.

Usaha Liverpool mendapatkan gol akhirnya berhasil pada minit ke-19 selepas Jota melakukan rembatan pada jarak dekat.

Arsenal hilang punca selepas jaringan itu dan Jota memastikan kemenangan Liverpool menerusi menjaringkan pada minit ke-77. Jaringan yang pada mulanya dikatakan ofsaid namun dibenarkan selepas pemeriksaan menerusi VAR.

Arsenal menerima tamparan hebat apabila Thomas Partey diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua berikutan melakukan kekasaran terhadap Fabinho.

Liverpool akan memburu rekod kejuaraan buat kali kesembilan Piala Liga apabila berdepan Chelsea yang layak ke final selepas menang 3-0 menerusi agregat ke atas Tottenham Hotspur, minggu lalu.

"Kami sangat gembira, suasana di bilik persalinan sangat ceria," kata pengendali Liverpool, Juergen Klopp.

"Babak pertama Arsenal memberi tentangan dan begitu juga sokongan baik peminat mereka tetapi kami berjaya meredakan tekanan itu. Kami menjaringkan dua gol menarik."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:06 AM