GAMEL (tengah) ketika hadir pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. FOTO Asrol Awang
GAMEL (tengah) ketika hadir pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kehadiran Christophe Gamel pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, di sini, malam tadi, seakan memberi petanda bekas ketua jurulatih kebangsaan Fiji itu bakal mengendalikan Sri Pahang musim depan.

Ini kerana Gamel yang juga ketua jurulatih Sri Pahang FC bawah 21 tahun musim ini begitu ceria bersama barisan pengurusan kelab berkenaan.

Pada masa sama, baru-baru ini, sumber memaklumkan bahawa Gamel yang berasal dari Perancis adalah calon tunggal untuk membimbing skuad Tok Gajah.

Namun, setakat ini, tiada kata putus atau pengumumaman daripada SPFC berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu Sri Pahang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang ketika ditemui pada majlis penajaan enggan mengulas kehadiran Gamel.

"Fokus utama malam ini (tadi) adalah majlis penajaan kelengkapan sukan kepada pasukan Sri Pahang bagi musim 2022/2023," katanya.

Pada awal musim, Sri Pahang dilatih jurulatih import, Thomas Dooley sebelum jawatan itu diambil alih oleh bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh.

Berdasarkan pencapaian musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super manakala Piala Malaysia sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 10:14 PM