FANDI Ahmad dikatakan bakal dilantik Ketua Jurulatih Sri Pahang FC musim depan. FOTO Sri Pahang FC
FANDI Ahmad dikatakan bakal dilantik Ketua Jurulatih Sri Pahang FC musim depan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penasihat Teknikal Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC) musim ini, Fandi Ahmad dikatakan bakal membimbing skuad itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Pengalaman dan mengenali barisan pemain musim ini serta bakal dibarisi beberapa pemain baharu yang berpengalaman termasuk import menyaksikan penampilan lebih padu buat skuad Tok Gajah musim depan.

Menurut sumber SPFC, setakat ini, hanya Fandi disebut-sebut untuk membimbing skuad itu dengan perubahan yang akan dilakukan terutama menampilkan barisan pemain berpengalaman.

"Fandi adalah pilihan utama ketika ini selepas bersama Sri Pahang pada pertengahan musim dalam membantu Sri Pahang memperbaiki kedudukan di dasar Liga Super.

"Kehadiran Fandi ternyata memberikan impak positif walaupun misi menduduki lima kedudukan terbaik saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian.

"Namun, pengalaman yang ada sebagai jurulatih dan pemain diyakini mampu untuk meletakkan Sri Pahang kembali bersaing merebut kedudukan lebih baik musim depan," kata sumber itu.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tempat ketujuh manakala terkandas pada pusingan awal Piala Malaysia.

Musim ini, skuad Tok Gajah bermula perlahan yang menyebabkan skuad itu terpelosok di kedudukan bawahan yang ketika itu dibimbing Christophe Gamel.

Pada pertengahan musim, SPFC membuat keputusan melantik Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih baharu.

Ketika itu, Dollah turut dibantu Fandi untuk memperbaiki kedudukan liga dan usaha itu berjaya apabila menamatkan kedudukan ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 1:19 PM