PEMAIN pasukan Sri Pahang FC meraikan jaringan gol oleh Azam Azih (tengah) ketika menentang Penang FC. FOTO Farizul Hafiz Awang
PEMAIN pasukan Sri Pahang FC meraikan jaringan gol oleh Azam Azih (tengah) ketika menentang Penang FC. FOTO Farizul Hafiz Awang
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan Sri Pahang FC (SPFC) ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada perlawanan malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, bukanlah kayu pengukur sebenar keupayaan dan kekuatan skuad Tok Gajah ketika ini.

Perkara itu diakui pengendali skuad Tok Gajah, Christophe Gamel apabila masih samar berkaitan kemampuan anak buahnya mengekalkan momentum persembahan walaupun berjaya mencatatkan dua kemenangan.

"Kita perlu terus realistik dan bekerja keras untuk mengutip mata demi mata dan mungkin di pertengahan liga, kita lihat adakah dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ataupun tidak.

"Tetapi pemain menunjukkan bola sepak dan falsafah yang saya mahukan menentang pasukan yang baik seperti KL City FC. Mereka kekal bersemangat dan saya lihat keyakinan mereka bertambah selain faham apa yang saya jangkakan daripada mereka.

"Tidak 'koyak', tidak 'goyang', jadi saya bangga dengan keseluruhan pasukan. Cuma masalah utama kita adalah konsistensi dan bagaimana kita mahu kekalkan persembahan seperti ini," katanya.

Terdahulu, sepakan deras umpama 'roket' dari Nor Azam Azih dan sepakan penalti Manuel Hidalgo meletakkan SPFC mendahului KL City FC 2-0 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu.

Namun kesilapan penjaga gol, Mamadou Samassa yang gagal menangkap bola dengan kemas membolehkan pemain KL City FC, Paulo Josue merapatkan jurang pada minit ke-86.

"Persembahan Samassa hanya biasa-biasa. Walaupun menyelamatkan dua atau tiga percubaan berbahaya tetapi itu memang tugasnya sebagai penjaga gol.

"Memang kita menang tetapi kesilapan mudahnya meletakkan kita dalam masalah. Aksi menyelamatnya memang baik tetapi dengan tahap yang saya tahu ada padanya, saya jangkakan lebih lagi daripada penjaga gol import seperti dia," kata Gamel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 4:25 PM