AFP

London: Ralph Rangnick mendapat permit kerja untuk memulakan tugas sebagai pengurus baharu sementara Manchester United, umum kelab Liga Perdana itu hari ini.

Pengendali berusia 63 tahun dari Jerman itu akan diperkenalkan kepada media esok dan akan menjalankan tugas buat kali pertama ketika United menentang Crystal Palace dua hari kemudian.

"Semua kertas kerja sudah pun siap, kami akan mengadakan sidang media bersama Ralf Rangnick di Old Trafford pada jam 9:00 pagi esok," kata United dalam satu kenyataan.

United mengesahkan pelantikan Rangnick sebagai pengganti Ole Gunnar Solskjaer sehingga akhir musim, hanya seminggu selepas bekas jurulatih dari Norway dipecat itu susulan kekalahan 1-4 di Watford.

Tetapi Rangnick yang juga pengurus sukan dan pembangunan di kelab Rusia, Lokomotiv Moscow, perlu menunggu kelulusan permit kerja sebelum boleh memulakan tugas di Old Trafford.

Pengurus ketika ini, Michael Carrick akan mengendalikan tugas buat kali ketiga ketika menentang Arsenal di Old Trafford awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:40 PM