RANGNICK berpengalaman dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan.
RANGNICK berpengalaman dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan.
AFP

London: Manchester United hari ini mengumumkan pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim susulan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.

Pengendali berusia 63 tahun dari Jerman itu berpindah dari Lokomotiv Moscow di mana dia menjadi pengurus sukan dan pembangunan.

Pada hujung musim Rangnick akan memainkan peranan sebagai penasihat di Old Trafford untuk dua musim lagi.

Dia mengambil alih tugas jurulatih skuad pertama, Michael Carrick yang menjalankan tugas untuk dua perlawanan sejak Solskjaer disingkirkan selepas beberapa keputusan mengecewakan.

"Dia pilihan pertama kami dan mempunyai tahap kepimpinan tinggi dan skil kemahiran yang diperolehi selama empat dekad dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan,'' kata pengarah bola sepak United, John Murtough.

Bekas pengurus RB Leipzig itu berkata dia gembira menyertai United dan fokus menjadikan musim yang berjaya buat skuad yang sedang bergelut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:07 PM