Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan pasukan 'pilihan ramai' Kuala Lumpur City (KL City) FC sebagai juara Piala Malaysia edisi ke 100 dengan menundukkan Johor Darul Ta'zim(JDT) 2-0 dalam perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi terus mendapat tumpuan netizen.

Malah ada antara penyokong yang berani bertindak 'mencuit' pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter.

Menerusi satu hantaran di laman sosial Twitter oleh @khairizulfadhli, beliau secara sinis mentertawakan pasukan kesayangan TMJ itu selepas tewas kepada Kuala Lumpur.

Enggan membiarkan keadaan itu terus berlanjutan TMJ terus membalas sindiran berkenaan dengan mengatakan 'status' beliau tidak berubah walaupun gagal membawa pulang Piala Malaysia itu.

"Encik, esok pagi saya masih Tunku Mahkota Johor (TMJ), masih mempunyai wang, 18 piala dalam masa lapan tahun.

"Allah kurniakan saya dengan empat orang anak dan isteri, anda boleh ketawa hari ini atau sementara tetapi saya ketawa pada hari-hari berikutnya, Saya bersyukur kerana diberkati," katanya di Twitter.

Pada perlawanan malam tadi KL City berjaya mengakhiri penantian 32 tahun bergelar juara Piala Malaysia dengan menewaskan JDT 2-0.

Gol berkenaan berjaya dijaringkan pemain sayap KL City Zharif Yahya sebelum Paulo Josue menambah derita JDT untuk jaringan kedua untuk skuad The City Boy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:34 PM