Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim(JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil langkah susulan dengan memberi pinjam kanvas bagi menutup padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menerusi perkongsian di Instagram beliau memaklumkan kanvas yang menutup padang SNBJ untuk aksi final Piala FA membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang JDT adalah milik Harimau Selatan.

Tindakan itu adalah bagi memastikan kelancaran final Piala FA tanpa berhadapan masalah padang menjadi becak.

Tindakan itu bertepatan kerana pada petang tadi keadaan di SNBJ hujan renyai sekali gus kemungkinan padang boleh rosak apabila berlangsungnya perlawanan final.

Mengikut rekod, padang SNBJ rosak teruk pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini sekali gus menyebabkan tindakan drastik dilakukan pihak Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) untuk memperbaikinya.

Malah, situasi terbabit turut mengundang pelbagai kecaman pelbagai pihak kerana stadium berharga ratusan juta ringgit itu tidak perlu berhadapan masalah terbabit hingga terpaksa menggunakan penyodok untuk membuang air bertakung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 9:16 PM