CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Cristiano Ronaldo yang juga pemenang lima kali Ballon d'Or itu mendapati dirinya mungkin berada dalam situasi yang janggal di Manchester United dan dia perlu cuba untuk menarik perhatian pengurus.

Ralf Rangnick dinamakan sebagai pengendali sementara United sehingga penghujung musim ini namun Michael Carrick akan terus kekal berada di bangku tempat duduk pemain apabila Red Devils berkunjung ke Stamford Bridge berdepan Chelsea.

Chelsea kini mendahului carta Liga dan Ronaldo menikmati musim prolifik di United walaupun berdepan masalah prestasi mereka, tapi bintang Portugal itu mungkin perlu membuktikan kemampuan dirinya Ahad ini.

Biarpun Ronaldo jarang bergelut untuk menjaringkan gol, rekodnya menentang Chelsea tidaklah hebat seperti yang anda jangkakan.

Biarpun dia menghampiri 800 gol dalam kerjayanya Ronaldo masih bergelut untuk mencari rentak terutama apabila berdepan Chelsea yang mana bintang Portugal itu hanya menjaringkan satu gol sepanjang 15 penampilan menentang Blues.

Gol tunggal itu diledakkan Ronaldo selepas berjaya melepasi kawalan Petr Cech pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2008 namun ketika perlawanan di tentukan ke sepakan penalti, Ronaldo gagal menyempurnakannya.

Jaringannya untuk Manchester United ketika menentang Villarreal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah Selasa lalu membawa mereka ke pusingan kalah mati - dengan Ronaldo meledak enam daripada 10 gol di peringkat kumpulan.

Bintang Portugal itu mengumpul 10 gol dalam 14 penampilan sejak kepulangannya ke Old Trafford, namun ada yang menganggap kehadiran pemain 36 tahun menyebabkan United tidak seimbang.

Antara hujah yang diberikan ialah kehadirannya mengganggu pelan asal Ole Gunnar Solskjaer. Ronaldo juga dikatakan tidak sesuai untuk sistem bola sepak moden.

Namun hakikatnya Ronaldo masih cemerlang dalam bahagian paling sukar dan penting bola sepak - menjaringkan gol. Dia kini mengumpul 799 gol sejak 19 tahun lalu dan masih belum kelihatan angka itu akan berhenti di situ.

"Itu apa yang dia lakukan dalam perlawanan penting - apabila anda memerlukannya dia ada untuk melakukannya. Dia begitu tenang dan tidak gugup apabila ada peluang," kata Michael Carrick yang mengambil alih tugas Solskjaer selepas pengendali dari Norway itu dipecat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 9:46 AM