SOLSKJAER berharap United lebih bersedia untuk berdepan apa saja cabaran di UCL musim ini. FOTO AFP
SOLSKJAER berharap United lebih bersedia untuk berdepan apa saja cabaran di UCL musim ini. FOTO AFP
AFP

Bern: Ole Gunnar Solskjaer berkata Manchester United harus mempunyai cita-cita untuk menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) terutama selepas kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke kelab berkenaan.

United, yang akan memulakan kempen saingan Eropah di tempat lawan menentang kelab Switzerland, Young Boys awal pagi esok, kali terakhir merasai nikmat kejuaraan pada 2008 ketika Ronaldo menjaringkan dalam aksi final menentang Chelsea.

Sejak dia meninggalkan kelab ke Real Madrid pada 2009, United hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali tatkala prestasi mereka semakin menurun di kejohanan berkenaan apabila Alex Ferguson bersara sebagai pengurus.

Namun, kepulangan Ronaldo menambah kekuatan skuad yang sudah penuh dengan bintang berkualiti yang diyakini oleh Solskjaer mereka kini bersedia bersaing dengan kelab terbaik di Eropah.

Pemain berusia 36 tahun itu dilihat gembira dapat kembali ke Old Trafford selepas meledak dua gol ketika menang 4-1 ke atas Newcastle dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu dan dilihat bersedia untuk mengatasi rekod 134 gol di UCL.

Raphael Varane, yang pernah merangkul empat kejuaraan UCL bersama Ronaldo di Real Madrid dan pemain sayap, Jadon Sancho juga tiba memperkuatkan United ketika jendela perpindahan sebelum ini.

"Sasaran kami apabila sudah berjaya melayakkan diri ke kejohanan ini adalah mara sejauh mungkin.

"Kami menambah pemain berpengalaman, berkualiti dan bintang muda ke dalam skuad ini dan berharap kami lebih bersedia untuk berdepan apa saja cabaran," kata Solskjaer.

United tersingkir di peringkat kumpulan UCL musim lalu dan juga gagal untuk memenangi Liga Europa dalam tempoh dua tahun terakhir di bawah Solskjaer.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Norway itu berharap kekecewaan itu dapat meningkat semangat United untuk kembali menguasai pentas Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 10:20 AM