Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua kekalahan berturut-turut di bumi Jordan bukan penamat buat skuad Harimau Malaya sebaliknya ia adalah permulaan kepada pembinaan pasukan yang lebih mantap menjelang saingan Piala AFF Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023 Februari depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang kini berada di Amman, Jordan tewas 0-4 kepada pasukan tuan rumah sebelum tumbang di tangan Uzbekistan dengan 1-5 dalam kedua-dua aksi persahabatan antarabangsa itu.

Mengulas mengenai keputusan itu, pengendali negara, Tan Cheng Hoe sememangnya kecewa dengan keputusan terbabit namun beliau optimis anak buahnya akan tampil lebih bersedia dan mantap menjelang dua kempen antarabangsa selepas ini.

Beberapa pemain dilihat berjaya memikat perhatiannya seperti Faizal Halim, Baddrol Bakhtiar, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Fadzilah Abu Bakar dijangka akan dikekalkan bagi digabungkan dengan tonggak utama Harimau Malaya yang tidak dipanggil kali ini.

Lantas, dengan skuad gabungan ini nanti, dijangka kekuatan skuad negara bertambah kuat sekali gus bersedia untuk memberi tentangan di saingan Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia nanti.

"Sebagai jurulatih saya sentiasa berfikiran positif dan kita perlukan kerjasama dengan semua pihak untuk pastikan skuad kebangsaan berada dalam landasan terbaik dalam persediaan Piala AFF dan Piala Asia nanti," katanya.

Ujarnya lagi, dua kekalahan itu banyak memberi kesan positif buat anak didiknya dengan meraih pengalaman berguna apabila bertemu pasukan handalan seperti Jordan dan Uzbekistan itu.

"Pemain kena sentiasa bersedia apabila datang ke skuad kebangsaan kerana kita perlukan pendedahan terbaik dan kita perlu sentiasa bermain dengan pasukan seperti Jordan yang menekankan aspek kelajuan dna teknikal yang kita boleh belajar,' kata jurulatih dari Kedah itu.

Untuk rekod, Cheng Hoe tidak membawa skuad utama di Amman, Jordan apabila sebaliknya memanggil ramai pemain muda untuk diberi peluang di peringkat antarabangsa.

Dijangka untuk persiapan Piala AFF bermula 5 Disember ini, Cheng Hoe akan menyenaraikan semula tonggak yang majoritinya kini beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Liridon Krasniqi yang bermain di Liga India dengan kelab Odisha FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 8:36 PM