CHENG Hoe (tengah) mempunyai tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan. FOTO FAM
CHENG Hoe (tengah) mempunyai tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan. FOTO FAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tempoh 11 hari untuk mempersiapkan skuad terbaik perlu digunakan sebaik mungkin oleh jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum menghadapi saingan Piala AFF Disember depan.

Menurut jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah, cukup atau tidak cukup tempoh berkenaan harus dihadapi Cheng Hoe kerana sudah tiada pilihan lain tatkala semua negara masih dibelenggu dengan masalah pandemik Covid-19.

"Pasukan lain mengalami benda sama, tidak cukup masa (mempersiapkan pasukan) bukan alasan. Kita sudah tahu bila jadual AFF dan apa perancangan perlu dilakukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menurut bekas jurulatih Harimau Muda A itu, walaupun berdepan kesukaran untuk melakukan latihan pusat dalam tempoh lama, barisan kejurulatihan skuad negara harus sentiasa memberikan motivasi, menyusun taktikal sebaik mungkin.

"Selepas pulang dari Jordan saya rasa mereka sudah boleh kenal pasti apa kekurangan yang perlu diperkemaskan dan barisan teknikal pasukan juga akan sentiasa membantu Cheng Hoe.

"Penilaian terakhir adalah dalam saingan Piala Malaysia nanti dan mereka boleh melakukan pemantauan di seluruh negara melihat prestasi pemain yang sudah dikenal pasti untuk dipanggil menyertai skuad Piala AFF.

"Kita juga berharap pemain berkenaan tidak mengalami kecederaan dan benda inilah yang boleh membuatkan seseorang jurulatih 'sakit kepala'. Saya juga merasakan perlu ada beberapa perlawanan persahabatan di Lembah Klang untuk pemain mendapat sentuhan yang diterapkan di dalam latihan," katanya.

Skuad Harimau Malaya hanya memiliki tempoh 11 hari bagi mempersiapkan pasukan menjelang sepak mula saingan Piala AFF yang dijadual berlangsung di Singapura bermula 5 Disember ini.

Tempoh singkat itu satu cabaran buat Cheng Hoe membentuk skuad mantap di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang diadakan di Wisma FAM baru-baru ini dan pemain akan mula berkumpul pada 25 November ini sebaik saingan separuh akhir Piala Malaysia berakhir.

Tonggak yang akan beraksi di final Piala Malaysia pula akan menyertai pasukan selepas berakhirnya aksi kemuncak itu pada 30 November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:58 PM