RAMSDALE berjaya menyelamatkan sepakan percuma Maddison. FOTO AFP
RAMSDALE berjaya menyelamatkan sepakan percuma Maddison. FOTO AFP
AFP

Leicester: Aksi tangkas luar biasa Aaron Ramsdale membantu Arsenal untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Gabriel dan Emile Smith Rowe memberikan pasukan pelawat untuk berada di kedudukan selesa pada separuh masa pertama namun kehebatan Ramsdale berjaya menghalang The Foxes untuk melakukan kebangkitan di Stadium King Power.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta meneruskan rentak tanpa kalah dalam semua kejohanan selepas sembilan perlawanan dan melonjak ke tangga kelima dengan mengutip 17 mata.

Arsenal tidak menunggu lama untuk memulakan aksi cemerlang dengan memperoleh gol awal melalui pertahanan tengah, Gabriel.

Pemain kelahiran Brazil itu menjaringkan gol sulungnya musim ini pada minit kelima selepas menanduk masuk sepakan penjuru lencong Bukayo Saka.

Smith Rowe menggandakan jaringan pada minit ke-18 untuk jaringannya yang keempat musim ini dengan menghukum kesilapan Luke Thomas.

Ramsdale yang menyertai Arsenal dari Sheffield United awal tahun ini berada pada prestasi terbaik dengan menyelamatkan percubaan dari Kelechi Iheanacho.

Selain menepis sepakan percuma James Maddison dia juga menafikan percubaan pemain gantian, Ademola Lookman dan Harvey Barnes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 10:06 PM