RAMSDALE diserang penyokong Tottenham selepas membantu Arsenal melakar kemenangan. -FOTO Reuters
RAMSDALE diserang penyokong Tottenham selepas membantu Arsenal melakar kemenangan. -FOTO Reuters
AFP

London: Tottenham berjanji akan mengambil 'tindakan yang tegas' selepas penjaga gol Arsenal Aaron Ramsdale ditendang oleh penyokong susulan kemenangan The Gunners 2-0 awal pagi semalam.

"Kami terkejut dengan tingkah laku penyokong yang cuba menyerang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale pada penghujung perlawanan," jelas Tottenham dalam satu kenyataan.

"Keganasan dalam apa juga bentuk tidak mempunyai tempat dalam bola sepak.

"Kelab sudah menyemak rakaman CCTV untuk mengenal pasti penyokong dan akan bekerjasama dengan polis, Arsenal dan Ramsdale untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya termasuk larangan memasuki stadium Tottenham Hotspur serta-merta.

Ramsdale menyelamatkan beberapa percubaan untuk membantu Arsenal mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana seterusnya melakar kemenangan pertama liga di tempat lawan menentang pesaing mereka itu sejak 2014.

Pemain antarabangsa England itu dilihat bertelagah dengan penyerang Tottenham, Richarlison ketika meraikan kemenangan di hadapan gawang golnya selepas tamat perlawanan.

Penyokong kemudiannya melompat melepasi papan pengiklanan di tepi padang dan menendang Ramsdale.

"Penyokong Spurs memberikan saya tekanan sejak babak kedua perlawanan ini," kata Ramsdale.

"Saya juga memberikan mereka tekanan. Saya melakukannya sebagai seorang ahli sukan tetapi peminat memberikan saya tumbukan di belakang.

"Ia memalukan kerana ia hanyalah satu perlawanan bola sepak. Kedua-dua barisan pemain cuba untuk membawa saya keluar dan syukur tiada kecederaan serius yang berlaku.

"Rasanya bercampur-baur tetapi saya pasti kami akan menikmatinya apabila kembali ke bilik persalinan."

Pengurus Tottenham Antonio Conte meminta lebih banyak penghormatan ditunjukkan kepada pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:39 AM