PEMAIN negara giat menjalani latihan menjelang aksi berdepan Jordan tengah malam ini. FOTO IHSAN FAM
PEMAIN negara giat menjalani latihan menjelang aksi berdepan Jordan tengah malam ini. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Segala kelebihan dari segi fizikal, prestasi dan kedudukan ranking sememangnya berpihak buat pasukan Jordan menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Raja Abdullah II, Amman, Jordan tengah malam ini.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, skuad kendaliannya bakal berdepan ujian getir apabila turun menentang pasukan tuan rumah yang kini menduduki ranking ke-93 dunia itu.

Bagaimanapun, ia bukan isyarat untuk skuad kebangsaan mengibar bendera putih terlalu awal, sebaliknya Cheng Hoe menegaskan pemainnya akan cuba memberi tentangan sengit dalam aksi itu.

Katanya, pendekatan bertahan bukanlah strategi pilihannya bagi mengekang asakan pemain tuan rumah yang dibimbing pengendali dari Iraq, Adnan Hamad itu.

Tegasnya, corak menyerang tetap akan ditampilkan oleh barisan pemain negara dengan beliau mahu pemain bergerak sebagai satu unit sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.

"Memang kita nampak dengan jurulaih baharu ini cara mereka bermain agak berbeza, malah kita juga tahu dari segi teknik dan fizikal Jordan ada kelebihan.

"Sudah tentu setiap kali kalau jumpa pasukan yang lebih tinggi daripada kita…kita kena bersedia dari segi serangan mereka terutama serangan balas atau kadang-kadang mengejutkan dengan kelajuan yang pantas.

"Dalam hal ini, pemain kita khususnya pertahahanan kena berjaga-jaga dan di samping itu, kita juga tak boleh nak bertahan sepajang 90 minit dengan pasukan seperti Jordan.

"Kita kena bermain seperti mana yang kita pernah main sebelum ini di mana kita menyerang sebagai satu pasukan dan bertahan sebagai satu pasukan juga," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak 20 tahun lalu, skuad negara hanya mampu seri sekali dalam tiga aksi persahabatan yang diadakan iaitu pada 2009 dengan selebihnya tewas tipis 0-1 pada 2002 dan 2019.Skuad negara yang kini menduduki ranking ke-154 dunia ketika ini dalam fasa persiapan untuk menghadapi dua kejohanan utama iaitu Piala AFF Disember ini selain kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari depan.

Menurut Cheng Hoe, beliau kemungkinan akan menurunkan skuad campuran membabitkan muka lama dan baharu bagi menguji tahap keserasian dan pemahaman pemain dengan corak permainan pasukan.

"Kita rasa dengan kombinasi pemain yang baru dalam skuad kebangsaan ini, kita akan beri peluang kepada mereka untuk melihat pemahaman taktikal pasukan yang sudah diterapkan," katanya.

Selepas aksi dengan Jordan, skuad Harimau Malaya dijadual berdepan satu lagi lawan sukar di rangking 84 iaitu Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:35 AM