Dion Cools
Dion Cools
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain pertahanan kelab Denmark, FC Midtjylland, Dion Cools terlepas dua aksi persahabatan berstatus A bertemu Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini.

Menerusi kenyataan badan induk bola sepak itu memaklumkan bahawa pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan sekali gus kelibatnya tiada pada dua aksi persahabatan itu.

Selain tonggak pertahanan negara itu, pemain Selangor FC, Syahmi Safari juga digugurkan berikutan mengalami kecederaan dalam perlawanan Piala Malaysia bersama pasukan kelabnya.

"Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil dua pemain pertahanan iaitu Muhammad Ariff Farhan Md Isa dari Kedah Darul Aman FC dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni dari Terengganu FC untuk melapor diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, petang esok.

"Ia bagi melengkapkan senarai 24 pemain Harimau Malaya yang dipanggil untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa bertemu Jordan dan Uzbekistan yang akan berlangsung di Amman, Jordan," katanya.

Cools yang juga pemain kacukan negara sebelum ini membuat penampilan pertama bersama skuad negara dalam kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.

Skuad Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk menghadapi Piala AFF yang bakal berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Berita itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan Cheng Hoe dalam membentuk barisan pemain yang mantap apabila Cools dilihat cukup cemerlang pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:06 PM