PAVARD (kiri) dilayangkan kad merah selepas
PAVARD (kiri) dilayangkan kad merah selepas
AFP

Berlin: Bayern Munich berjaya menjarakkan diri dengan kelebihan tiga mata di tangga teratas Bundesliga selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan tercorot, Greuther Fuerth walaupun terpaksa beraksi 10 pemain pada separuh masa kedua apabila Benjamin Pavard diperintah keluar padang.

Gol pada separuh masa pertama oleh Thomas Mueller dan Joshua Kimmich membolehkan Bayern mendahului 2-0 sebelum Pavard dilayangkan kad merah tiga minit selepas aksi separuh masa kedua bermula.

Terjahan dari belakang yang dilakukan Pavard ke atas pemain kelahiran Amerika Syarikat, Julian Green menyaksikan pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah.

Pemain tengah Fuerth, Sebastian Griesbeck menjaringkan gol sendiri apabila bola yang ditampan Robert Lewandowski terkena kakinya.

Bagaimanapun, sokongan paling gemuruh hadir apabila tuan rumah berjaya memperoleh gol sagu hati melalui pemain gantian, Cedric Itten di hujung saingan

"Ia bukan aksi yang cemerlang tapi kami berjaya mengawal permainan dengan baik walaupun kurang seorang pemain," kata penjaring gol Bayern, Kimmich.

Keputusan itu menyaksikan Bayern berada selesa di tangga teratas namun pencabar terdekat, Wolfsburg mampu merapatkan jurang jika menang ke atas Hoffenheim malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 9:07 AM