PEMAIN Essen meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Jerman selepas mengetepikan Leverkusen. FOTO EPA
PEMAIN Essen meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Jerman selepas mengetepikan Leverkusen. FOTO EPA
AFP

Berlin: Pasukan divisyen empat, Rot Weiss Essen meneruskan status mereka sebagai pembunuh kelab gergasi di Piala Jerman dengan mengalahkan naib juara musim lalu Bayer Leverkusen 2-1 selepas aksi diheret ke masa tambahan untuk layak ke suku akhir.

Pemain antarabangsa Jamaica, Leon Bailey meletakkan pasukan yang beraksi di Bundesliga itu di depan pada minit ke-105 namun Essen menyamakan kedudukan melalui jaringan Oguzhan Kefkir.

Tidak pernah kalah sejak 1 Februari tahun lalu, Simon Engelmann menjaringkan gol kemenangan Essen pada minit ke-117 tatkala pasukan di liga bawahan itu meneruskan kecemerlangan apabila sebelum ini mengalahkan Arminia Bielefeld dan pasukan divisyen dua, Fortuna Dusseldorf.

Essen, yang sekarang ini berada di tempat kedua di belakang skuad simpanan Borussia Dortmund dalam saingan Regionalliga West, memenangi Piala Jerman pada 1952-53, edisi pertama selepas Perang Dunia Kedua.

Skuad utama Dortmund terpaksa berhempas-pulas untuk mengalahkan pasukan divisyen dua, Paderbon 3-2 selepas aksi diheret sehingga masa tambahan dengan Erling Braut Haaland menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95.

Emre Can dan Jadon Sancho meledak gol pada separuh masa pertama tatkala Dortmund sudah bersedia untuk meraikan kejayaan mara ke pusingan seterusnya namun Julian Justvan memberikan Paderbon sedikit harapan dan Prince Oseu Owusu meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.

Gol penyamaan berpunca daripada sepakan penalti selepas melihat semula Video Bantuan Pengadil (VAR) namun Haaland berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

Werder Bremen pula mengalahkan Greuther Fuerth 2-0, manakala pasukan dari Bundesliga 2, Holstein Kiel, yang menyingkirkan penyandang juara, Bayern Munich menerusi sepakan penalti pada pusingan sebelum ini mengalahkan Darmstadt 7-6 dalam satu lagi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 10:00 AM